Sunday 13 October 2013

CUKUP TERHENTI DI SINI...






 BUNUH DIRI
*  Perbuatan untuk menamatkan atau menghilangkan nyawa diri sendiri.
*  Dilakukan dengan pelbagai cara (fizikal luaran, fizikal dalaman atau kedua-duanya sekali)
*  Contoh fizikal luaran adalah seperti membakar diri sendiri.
*  Contoh fizikal dalaman ialah dengan menyuntik racun ke dalam tubuh badan.
*  Punca utama tindakan membunuh diri ini ialah berlaku kerana tekanan sama ada dari segi mental atau fizikal. Meraka akan bertindak di luar pemikiran yang waras.
Latar belakang orang yang membunuh diri ini adalah terdiri daripada individu yang bermasalah seperti permasalahan dengan 













































FAKTOR-FAKTOR

v Sakit (mengalami sakit yang teramat sangat atau penderitaan penyakit yang tidak boleh diubati)

v Tekanan (seperti kesedihan selepas kematian orang yang tersayang)

v Jenayah (untuk mengelakkan diri daripada menerima hukuman atau kebosanan di dalam penjara)

v Penyakit jiwa (kemurungan, gangguan dwikutub, trauma dan skizofenia)

v Kecederaan kekal (tidak dapat menerima takdir)

v Penyalahgunaan dadah

v Persekitaran yang tidak menyenangkan (kemiskinan atau diskriminasi)

v Masalah kewangan (hutang, pengangguran dan ketagihan judi)

v Sikap ingin tahu/sikap ambil tahu (seperti untuk mengetahui tentang keadaan selepas mati)

v Kebosanan (ketidakpuasan terhadap kehidupan)

v Terorisme : ( (a) agama : seperti pengebom berani mati, (b) nasionalisme yang keterlaluan seperti kamikaze, selbstopfer dan kaiten)


































Perdebatan tentang bunuh diri

Rencana utama: Pandangan falsafah tentang bunuh diri


Sesetengah orang melihat bunuh diri sebagai suatu pilihan peribadi yang sah dan sebagai salah satu hak asasi manusia (dalam bahasa percakapan, dikenali sebagai gerakan hak untuk mati), dan mempertahankan bahawa tiada orang yang harus dipaksa untuk menderita bertentangan dengan kehendaknya, khususnya dalam kes-kes penyakit yang tidak dirawat, sakit jiwa, dan umur tua yang tidak mempunyai sebarang kemungkinan untuk dipulih. Penyokong-penyokong pandangan ini menolak kepercayaan bahawa bunuh diri selalu tidak rasional dan sebaliknya, memperdebatkan bahawa ia adalah jalan keluar yang sah, walaupun mendadak, untuk mereka yang mengalami sakit yang teruk atau trauma. Sudut pandangan ini amat popular di benua Eropah, dengan eutanasia dan topik-topik lain yang serupa biasanya dibincangkan di dalam parlimen, walaupun sudut pandangan ini juga mendapat banyak sokongan di Amerika Syarikat.


Sebahagian kumpulan tersebut yang lebih kecil menganggap bahawa bunuh diri ialah hak peribadi yang tidak boleh dipersoalkan bagi sesiapa (termasuk juga orang-orang muda dan sihat) yang mempercayai bahawa dia telah mencapai keputusannya dengan rasional dan dengan hati nurani. Antara penyokong-penyokong terkenal aliran fikiran ini ialah Arthur Schopenhauer, ahli falsafah pesimis Jerman. Kumpulan ini sering menyokong pembubaran statut-statut yang mengehadkan kebebasan orang-orang yang diketahui hendak membunuh diri, umpamanya undang-undang yang membenarkan mereka dipaksa memasukkan ke hospital kesihatan mental bertentangan dengan kehendak mereka.


Bagaimanapun, para pengkritik memperdebatkan bahawa dorongan untuk membunuh diri adalah hasil yang diwujudkan oleh penyakit mental dan oleh itu, tidak merupakan suatu perbuatan kepentingan diri yang rasional. Disebabkan oleh keseriusan dan ketakbolehbalikan keputusan untuk membunuh diri, adalah lebih cermat bagi masyarakat bersikap terlalu belas ihsan untuk memperlindungi orang-orang yang hendak membunuh diri. (dipetik daripada Wikipedia http://ms.wikipedia.org/wiki/Bunuh_diri)

Di mana sayang itu?


Dewasa ini, isu berkaitan penderaan haiwan semakin diperkatakan. Saban hari, ada sahaja isu yang membabitkan penyeksaan haiwan sama ada yang dilaporkan di dada akhbar-akhbar arus perdana mahupun yang berlaku di hadapan mata kita sendiri. Statistik yang teleh dikeluarkan oleh Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) menunjukkan sebanyak 11,576 haiwan termasuk anjing dan kucing dihantar oleh orang ramai ke pusat itu bagi mendapatkan rawatan dan perlindungan sementara selepas dijumpai didera dan dianiaya oleh manusia yang tidak bertanggungjawab (Berita Harian, 2005). Selain itu, sebanyak sepuluh aduan mengenai penderaan haiwan telah dilaporkan pada setiap hari (Harian Metro, 2012). Hal ini menjadi bukti yang menunjukkan bahawa manusia pada masa kini semakin hari semakin hilang sifat kemanusiaan dalam diri mereka. Haiwan-haiwan seperti kucing dan anjing acap kali menjadi mangsa kepada pelakuan ganas dan tidak bertanggungjawab mereka.


Persoalannya di sini, ke manakah hilangnya sifat perikemanusiaan? Apakah manusia yang hidup di era globalisasi ini semakin hilang sifat belas kasihan sesama makhluk sehingga sanggup melakukan perbuatan sedemikian?

Kes penderaan kucing yang dilakukan oleh pusat penjagaan haiwan Petknode di Selangor pada tahun 2011 pernah menjadi polemik dalam kalangan media massa. Penyebaran berita tersebut melalui laman sosial mengenai kucing yang kebuluran dan mati di pusat penjagaan tersebut telah mendapat perhatian ramai. Kes ini telah menjadi “viral” pada satu ketika dulu.  Sebanyak 200 hingga 300 ekor kucing telah ditinggalkan tanpa pengawasan dan penjagaan yang sepatutnya oleh pemilik syarikat  penjagaan haiwan tersebut. Selain itu, terdapat kes penganiayaan ke atas seekor kucing oleh seorang penjaja wanita yang berlaku pada tahun lepas turut menimbulkan kemarahan kepada para pencinta haiwan. Wanita tersebut didakwa telah memukul, menendang serta menyakiti haiwan malang tersebut.



Dalam pada itu, terdapat laporan akhbar yang melaporkan mengenai warganegara Myanmar yang menjadikan kucing sebagai menu seharian mereka. Sebelum memasaknya, mereka akan mengetuk kepala kucing tersebut sehingga mati. Kulitnya akan disiat dan mereka hanya mengambil organ dalaman iaitu hati dan jantung untuk digoreng (Sinar Harian, 2012). Ironinya, kes penderaan haiwan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malahan di luar negara kes ini semakin berleluasa ibarat “cendawan tumbuh selepas hujan.” Sebagai contoh, kes yang terbaru melibatkan hampir 500 ekor kucing yang akan dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran di China.



Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak menjadi sejenis hidangan istimewa tempatan yang digemari penduduk setempat di China (Kosmo, 2012). Contoh-contoh penderaan haiwan yang telah dinyatakan ini menunjukkan bahawa isu ini telah menjadi barah yang serius. Kes-kes seperti ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana ia dianggap amalan biasa bagi sesetengah golongan. Penganiayaan haiwan yang dilakukan oleh warga asing mungkin kerana perbezaan agama dan budaya mereka. Namun, hal yang tidak dapat diterima adalah apabila masyarakat yang beragama Islam itu sendiri yang melakukan kes penderaan tersebut. Ke mana hilangnya akhlak masyarakat Islam yang sepatutnya berlandaskan al-Quran dan sunnah?


Jika dibincangkan isu ini dari perspektif tasawur Islam, prinsip-prinsip Islam dalam hubungan manusia dengan alam sekitar juga meliputi hubungan manusia dengan haiwan. Oleh itu, golongan yang melakukan penyeksaan ke atas haiwan ini sudah tentu menyimpang dari aspek tasawur Islam itu sendiri yakni mereka tidak menjaga hubungan dengan alam. Walaupun hubungan dengan Allah s.w.t perlu dijaga, namun hubungan dengan haiwan juga tidak sepatutnya dipandang ringan. Hal ini demikian kerana haiwan juga merupakan makhluk Allah s.w.t yang seperti juga manusia,  perlu  tunduk patuh kepada Allah s.w.t. Manusia tidak boleh membataskan kasih sayang hanya sesama manusia sahaja dan mengabaikan hubungan dengan makhluk lain yang ada di atas muka bumi ini. Hal ini berpandukan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sayangilah sesiapa sahaja yang ada di bumi, nescaya kalian disayangi sesiapa  sahaja     yang ada di langit.” (Hadis Riwayat at-Tabrani dan al-Hakim)

Oleh itu kita sebagai kita sebagai manusia haruslah menanamkan sifat berkaih sayang antara makhluk di muka bumi ini, sesuai dengan kehendak agama Islam yang menyarankan umatnya untuk berkasih sayang antara sesama makhluk. 









Friday 27 September 2013

Jahiliyah di zaman moden






Mutahir ini, kita sering didedahkan dengan tragedi pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah, semak dan kaki lima bangunan serta sesetengahnya ditemui telah meninggal dunia.  Bayi yang tidak berdosa itu dibungkus dengan plastik atau kain lalu dibuang tanpa ada sedikit pun rasa belas ihsan dan sifat berperikemanusiaan.


Pembuangan bayi itu dipercayai dilakukan oleh insan yang tidak bertanggungjawab hasil daripada perbuatan mereka yang tidak bermoral. Hal ini berkemungkinan kerana mereka buntu dengan kelahiran bayi tersebut serta rasa bersalah dan takut kepada keluarga. Justeru itu, mereka lebih terdorong untuk mengambil jalan pintas dengan membuang bayi tersebut ke tempat-tempat yang difikirkan tidak akan diketahui oleh orang lain. Terdapat juga sebahagian daripada mereka membuang bayi-bayi tersebut ke tempat-tempat tumpuan umum dengan harapan orang ramai akan menjumpai bayi tersebut dan menyelamatkannya.


Di samping itu, manusia pada masa kini juga semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal fikiran ketika bertindak. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan kehendak nafsu mereka dapat dipenuhi. Apabila sudah terlanjur dan mengandung, baharulah mereka tersedar dengan tindakan salah yang mereka ambil.


Allah berfirman di dalam surah asy-Syura ayat 49-50 yang bermaksud: “Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa”. 

Justeru itu, manusia mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menjaga amanah Allah ini serta berusaha untuk memenuhi segala keperluan fizikal, mental dan material anak tersebut.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberikannya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran” (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Oleh kerana itu, kita sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin haruslah berganding bahu bagi menangani permasalahan sosial ini daripada terus menular dan merosakkan masa depan negara yang tercinta ini.